Penulis
blog asalnya mencatatkan sesuatu untuk dikongsikan bersama pelawat laman itu. Sesetengah
mereka menulis berita dan rencana untuk disebarkan kepada orang ramai. Jadi, mereka
turut dipangil wartawan blog.
Mereka
sememangnya lebih bebas dan tidak memerlukan kawalan mana-mana pihak untuk
melakukan posting apa yang ditulis. Berbeza jika menulis di laman web tertentu
yang ada pengurus web untuk mengawal kandungan dikirimkan.
Di mana sekalipun berita ditulis
sama ada di akhbar, majalah, laman web, laman blog mahupun buku, kandungan
berita mesti tepat dan bebas daripada fitnah. Tanggungjawab sebagai penulis
tetap sama, berita mesti benar, bukan agak-agak, dengar khabar atau jauh sama
sekali sekadar mereka-reka cerita itu untuk tujuan fitnah.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Seseorang hamba yang membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya (hakikat
dan akibatnya) akan dilempar ke neraka sejauh antara timur dan barat.” - (Hadis
riwayat Muslim).
Fitnah ialah tuduhan melalui cerita,
khabar atau kisah yang diada-adakan atau agak-agak untuk mendatangkan keburukan
terhadap seseorang, keluarga atau kumpulan. Perkataan fitnah berasal perkataan
Arab bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan.
Pun begitu, penulis blog tidak
terlepas daripada undang-undang berkaitan fitnah. Walaupun mereka menggunakan
nama samaran, penulis blog boleh dikesan melalui unit siber forensik dan
dihadapkan ke muka pengadilan.
Jadi
tidak semestinya menggunakan laman blog, penulisnya boleh menulis apa saja. Itu
hanya satu pandangan. Akhir-akhir ini, sudah banyak kes tindakan undang-undang
dikenakan terhadap penulis dalam media alternatif.
Masyarakat berpindah ke media alternatif bukan kerana hilang
kepercayaan kepada media cetak seperti akhbar arus perdana dan akhbar tabloid. Sebaliknya,
lencongan mendapat maklumat kepada media alternatif kerana ingin mengetahui
banyak berita atau fakta mengenai sesuatu perkara yang tidak didedahkan dalam
akhbar.
Akhbar perdana tidak mendedahkan sesuatu berita yang tidak pasti
atau yang difikirkan memberi kesan tidak baik kepad masyarakat. Tidak
semestinya yang benar itu mesti didedahkan. Dalam ajaran Islam menegah sesuatu
berita tidak baik didedahkan kepada umum jika difikirkan adakan kesan buruk
akibatnya, terutama terhadap individu yang dikaitkan dengan berita itu.
Sebaliknya, penulis laman blog seakan-akan seperti sudah menjadi
niatnya hendak mendedahkan sesuatu mengenai individu di laman blognya. Tidak
kurang juga menanggap cara itu bertujuan mencari kebenaran yang difikirkan
tidak mungkin diperoleh melalui akhbar perdana.
Penulis blog kini semakin ramai dan
meluas. Pada satu peringkat, pelawat laman blog kini sudah boleh memilih laman
mana yang boleh dipercayai kredibiliti atau kebenaran berita yang ditulis. Jika
sesuatu laman blog banyak menyiarkan kenyataan tak benar, lama-kelamaan ia akan
hilang reputasi, kredibiliti dan orang akan menilai kewibawaan penulis laman
blog itu.
Sama juga dengan akhbar, apa saja
ditulis dalam akhbar orang percaya kerana kalau tak betul, tak akan keluar. Itu
zaman dulu. Sekarang ramai melihat secara sinikal kepada akhbar, siapa yang
tulis, siapa milik akhbar itu, siapa pengarangnya. Pembaca sudah mula
menilai.
Apapun, teknologi maklumat
sepatutnya dimanfaatkan untuk kebaikan. Tidak patut ia disalahgunakan untuk
menyebar berita berbentuk fitnah. Jangan jadikan kecanggihan teknologi sekarang
untuk melepas geram dan menyebarkan fitnah.
Banyak berita fitnah tersebar tanpa
pengirim dan penerimanya mengenali antara satu sama lain. Namun, penerima
berita itu boleh pula mempercayainya, dan kemudian menyebarkan pula kepada
orang lain.
Banyak
berita yang disebarkan sebenarnya tidak kena mengena dengan diri kita dan tidak
mendapat apa-apa keuntungan daripada perbuatan itu. Jadi, tidak sepatutnya kita terlibat sama menyebarkan
berita fitnah itu.
Firman Allah SWT dalam surah
al-Hujurat, ayat 6 bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada
kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan)
kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak
diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu
menyesali perkara yang kamu lakukan.”
Banyak
individu menyebar berita yang difikirkan benar beranggapan dia telah melakukan
kebaikan. Asas itu tidak boleh digunakan kerana kita tidak pasti
perkara yang sebenarnya. Kita hanya boleh menyebarkan sesuatu berita mengenai
perkara yang pasti dengan jelas.
Tindakan menyebarkan berita yang
tidak pasti akan membawa diri ke dalam kancah fitnah. Pihak yang tidak
bertanggungjawab sentiasa mencari peluang untuk mencetuskan fenomena berita
fitnah dianggap sebagai satu yang benar. Mereka merasa puas dan mendapat
kejayaan apabila berita fitnah dipercayai oleh orang lain sebagai sesuatu yang
benar.
Apabila penyebaran fitnah berlaku
secara berleluasa bermakna kehidupan masyarakat berada di ambang kemusnahan. Masing-masing
keliru dan sukar untuk membuat pilihan yang mana berada di pihak benar. Dalam
keadaan keliru itu, pihak yang benar dikatakan bersalah dan begitulah
sebaliknya.
Perbuatan menyebarkan fitnah
melambangkan peribadi yang keji dan jahat. Jika perbuatan itu telah sebati
dalam diri, hati tidak akan merasakan kemanisan iman ketika melakukan kebaikan.
Maka, hati menjadi lebih cenderung untuk melakukan perbuatan dosa.
Perbuatan fitnah juga adalah
sebahagian perbuatan mengadu-domba. Apabila fitnah disebarkan, ia mudah
menyebabkan permusuhan dua pihak. Permusuhan menjadi semakin tegang apabila
lebih banyak fitnah ditabur. Manusia sanggup berbunuh akibat terpengaruh dengan
fitnah.
Justeru, amat perlu setiap berita
yang diterima dihalusi supaya tidak terlibat dalam kancah berita berunsur
fitnah. Sebelum mempercayai sebarang berita, perlu dipastikan kesahihannya
berdasarkan sumber dan faktanya.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Beruntunglah orang yang sentiasa menyelidiki dan melihat keaiban diri
sendiri.” - (Hadis riwayat Muslim).
Individu yang difitnah sudah pasti
marahkan kepada orang yang menfitnahnya. Sekilas difikirkan sudah tentu
terdetik di dalam hati untuk membalas balik perbuatan itu. Namun, sebaik-baik
manusia ialah tidak bertindak balas terhadap kejahatan yang dilakukan
terhadapnya.
Betapa mulia hati sesiapa yang dapat
memaafkan orang yang telah memfitnahnya. Sifat itu antara intipati kata-kata
Hasan al-Bana. Katanya: “Jadilah seperti pohon yang dibaling orang dengan batu
tetapi menggugurkan buah buat mereka.”
No comments:
Post a Comment