Monday, 6 January 2020

RASULULLAH BUKAN PEMIMPIN PARTI POLITIK


Nabi Muhammad digelar pemimpin agung sepanjang zaman dan paling sempurna akhlaknya yang tidak ada tolak banding. Seluruh cerdikawan, ahli agama, pemikir dan pemimpin sepanjang zaman, sama ada beragama Islam atau kafir telah sepakat mengakui bahawa Nabi Muhammad sebagai The Saviour of Humanity (Penyelamat Manusia Sejagat).

Lothrop Stoddard, seorang orientalis Barat dalam bukunya The New World of Islam mencatatkan bahawa kebangkitan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad adalah suatu perkara yang paling menakjubkan dalam sejarah manusia.       

Pengiktirafan yang jujur itu hasil penelitian kajian berkaitan sumbangan besar Nabi Muhammad dalam membentuk masyarakat sempurna dan syumul yang tidak ada batasan geografi dan zaman. Tidak ada individu lain mampu mencapai status seperti mana dicapai Nabi Muhammad.  

Sebab itu, banyak pihak yang tidak berpuas hati sengaja mereka cerita memburukkan peribadi Rasulullah SAW. Mereka cuba mengubah kepercayaan dan penerimaan baik seluruh manusia sepanjang zaman terhadap Rasulullah SAW. Namun, usaha jahat itu tidak pernah mencapai kejayaan. 

Nabi Muhammad SAW bukan pemimpin atau ketua parti politik Islam.  Biarpun proses pemerintahan dikaitkan dengan politik, tetapi Rasulullah tidak menubuhkan parti politik. Bahkan ketika zaman Rasulullah SAW tidak wujud istilah parti politik. 

Dakwaan mengaitkan Rasulullah SAW sebagai pemimpin parti politik bererti menyamakan baginda dengan status ketua parti seperti sekarang. 

Sesungguhnya Rasulullah SAW bebas daripada pengaruh ideologi politik. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam kepimpinan adalah merangkumi segenap aspek kehidupan manusia termasuklah politik.    

Gaya kepimpinan Rasulullah SAW amat berbeza dengan kepimpinan yang diamalkan oleh pemimpin politik. Rasulullah SAW pemimpin seluruh umat Islam yang mencakupi segenap aspek kehidupan. Baginda menjadi contoh ikutan untuk seluruh umat sepanjang zaman sehingga ke hari kiamat. 

Dalam menjalankan tugas kerasulan, Nabi Muhammad SAW tidak terikat dengan mana-mana fahaman atau menyatakan dari mana datangnya. Sebaliknya, baginda berdakwah berdasarkan kepada wahyu daripada Allah SWT. Justeru, apa yang dilakukan adalah tepat dan benar belaka kerana mendapat bimbingan terus daripada Allah SWT.   

Dengan kata lain, baginda bebas daripada ikatan mana-mana pihak. Baginda tidak dipilih oleh mana-mana pihak untuk menjadi pemimpin, sebaliknya baginda yang memimpin berdasarkan perintah Allah SWT. 

Nabi Muhammad SAW bukan ingin jadi pemimpin, tetapi ditugaskan memimpin.  Justeru, baginda tidak melalui sebarang proses pertandingan untuk menjadi pemimpin. Jawatan baginda sebagai pemimpin manusia dianugerah oleh Allah SWT.    

Sebab itu, baginda bebas daripada sebarang sifat-sifat buruk yang biasa dikaitkan dengan mereka yang gilakan kuasa dan pangkat. Sikap mewah, menyalahgunakan kuasa dan tidak adil tidak ada satupun tercatat dalam sirah Rasulullah SAW. 

No comments:

Post a Comment