Sunday 17 April 2022

JENIS GOLONGAN SAMBUT RAMADAN

Ramadan, bulan kesembilan dalam kalender Hijrah, yang sepanjang bulan tersebut diwajibkan kepada umat Islam menunaikan ibadat puasa. Kedatangan Ramadan ditunggu-tunggu oleh orang soleh kerana Allah SWT telah menyediakan anugerah berlipat ganda bagi sesiapa melaksanakan ibadat puasa dan amalan lain sepanjang bulan yang turut dikenali penghulu bulan. 

Orang yang teguh imannya menyambut ketibaan Ramadan dengan penuh rasa bersyukur. Mereka menanam azam untuk menghidupkan sepanjang bulan itu dengan ibadat memandangkan bulan Ramadan adalah musim menuai pahala yang terbaik untuk kehidupan di akhirat. 

Berlainan pula orang yang Islam pada nama saja, menganggap ketibaan Ramadan sebagai membebankan dan menyekat kebebasan. Mereka benci dan fobia dengan kedatangan bulan Ramadan. Bagi golongan ini, kalau boleh biarlah tidak ada bulan Ramadan. Banyak individu daripada golongan ini tidak menunaikan ibadat puasa. 

Manakala bagi orang Islam kebanyakan, Ramadan disambut seperti kedatangan bulan-bulan lain. Mereka berpuasa pada bulan Ramadan kerana itu perintah yang wajib dilaksanakan, sepertimana juga ibadat-ibadat wajib lain. Mereka memahami tanggungjawab yang perlu dilakukan sebagai seorang beragama Islam. 

Bagi golongan ini, sekiranya ada sesuatu dilakukan berkaitan dengan kelebihan Ramadan, mereka melakunya dengan ikhlas. Hal itu sebagai tanda jiwanya masih hidup dan dapat melakukan apa yang sepatutnya sebagai tanda keimanan. 

Individu sedemikian tidak bersungguh-sungguh merebut peluang tersedia dalam bulan Ramadan, tetapi tidak juga melepaskan semuanya. Mereka masih mendapat fadilat Ramadan, biarpun sedikit.

Satu lagi golongan menyambut kedatangan Ramadan lebih bersifat kepada satu amalan kebiasaan dalam agama atau dipanggil ritual. Mereka ini melakukan sesuatu persis tidak mempunyai pegangan dan keyakinan apa yang dilakukan. Ibadat puasa dilakukan sekadar lebih kepada terikut-ikut mengikut keperluan semasa.

Golongan ini lebih terpengaruh untuk melakukan itu dan ini yang menampakkan kehebatan sambutan Ramadan. Mereka menyambut Ramadan dengan gembira kerana banyak amalan dilakukan pada bulan Ramadan yang berlainan berbanding bulan lain, dan ini memberi kepuasan kerana kelihatan hebat dan meriah. 

Mengikut Kamus Dewan, perkataan ritual bermaksud tatacara dalam upacara keagamaan, adat dan sebagainya. Amalan ritual lahir dari satu kebiasaan yang diterima dan dilakukan dalam masyarakat. Walaupun berkaitan dengan ibadat, sedangkan niat sebenarnya dilakukan kerana satu kebiasan. Maka, ibadat itu tidak diterima oleh Allah sebagai satu ibadat.

No comments:

Post a Comment